Jadi siapa 'Zulaikha' ?
Semenjak aku di bangku sekolah, aku disajikan cerita tentang kisah Nabi Yusuf yang tampan, kisah cintanya dengan Zulaikha yang kononnya agung. Lebih agung dari Romeo dan Juliet, Shah Jehan dan Mumtaz Mahal . Tapi hakikatnya itulah yang digambarkan dalam puisi Sufi Parsi ( Iran ) . ya, oleh seorang penyair. bukannya dari Al-Quran sendiri .
Seringkali aku ke majlis kahwin atau pada kad pengantin tertulis doa seperti :
“Ya Allah! Satukanlah hati kedua-dua mempelai ini sepertimana Engkau satukan Rasulullah dan Khadijah, Yusuf dan Zulaikha…”
Doa tersebut biasanya di aminkan oleh imam, atau kadi memohon keberkatan pernikahan . Rasulullah dan Khadijah memang telah tercatat perjalanan hidup baginda bersama Siti Khadijah pada fasa awal penyebaran dakwah baginda namun Yusuf dan Zulaikha , benarkah Nabi Yusuf A.S bernikah dengan Zulaikha pada akhir cerita?
Maka oleh hal yang demikian disebabkan jahilnya kita berkaitan hadis dan Al-Quran, dengan tanpa soal selidik , kita biasanya mengaminkan doa supaya menjadi si isteri seperi Zulaikha. Bukankah Zulaikha itu seorang isteri yang curang, pantang melihat Yusuf yang gagah dan tampan yang akhirnya menggoda, menfitnah Yusuf meyebabkan Yusuf dipenjara. Malangnya, ramai yang terpengaruh dengan penyair-penyair Parsi ( Iran) , yang mengagung-agungkan berahi nafsu Zulaikha terhadap Yusuf. Malangnya ramai yang melihatnya sebagai wahyuNya. Malangnya ramai yag tidak mengkaji penuh puisi sufi yang sebenarnya menidakkan kandungan Al-Quran .
Di mana kisah baginda dengan Zulaikha?
Kisahnya bermula pada ayat ke-21 iaitu ketika al-Aziz, pembesar Mesir membeli nabi Yusuf dan membawanya pulang ke rumah untuk dijadikan hamba. Nabi Yusuf membesar di rumah al-Aziz sehingga meningkat dewasa menjadi seorang pemuda yang sangat tampan. Lalu kerana ketampanannnya, isteri al-Aziz merasa terpikat yang luar biasa sehingga sanggup menggoda nabi Yusuf untuk berbuat maksiat dengannya sewaktu ketiadaan al-Aziz. Namun kerana kekuatan iman yang ada dalam diri seorang pemuda bernama Yusuf, baginda tidak termakan dengan godaan yang datang dari seorang wanita kenamaan yang cantik itu.
Kisah ini dilanjutkan lagi dengan sekumpulan wanita yang mencemuh keadaan isteri al-Aziz yang tergoda oleh hamba lelakinya sendiri. Lalu isteri al-Aziz yang tidak senang dengan cakap-cakap mereka, merancang untuk mengenakan mereka. Dijemputnya mereka ke rumahnya untuk suatu majlis, kemudian diberikan sebilah pisau pemotong buah lalu disuruh nabi Yusuf keluar sehingga dilihat oleh wanita-wanita tadi. Alangkah takjubnya mereka apabila melihat ketampanan wajah nabi Yusuf sehingga tidak sedar yang mereka telah terpotong jari jemari mereka sendiri!
Lalu isteri al-Aziz berkata kepada kumpulan wanita yang mencercanya tadi;
.Al-Quran tidak menyebutkan nama sebenar wanita tersebut kerana itu bukanlah fokus cerita. Samada tahu atau tidak nama sebenar wanita itu langsung tidak memberi kesan kepada jalan cerita kerana ada pengajaran yang lebih besar yang ingin Allah sampaikan daripada sekadar disibukkan dengan nama. Pengajaran terbesarnya ialah tentang kekuatan iman yang mampu menjadi benteng diri daripada hasutan syaitan. Walaupun ketika digoda oleh isteri al-Aziz itu tiada apa yang menghalang mereka, apalagi nabi Yusuf ketika itu ialah seorang pemuda yang punya keinginan, namun iman yang kukuh mampu menjadi pelindung kepada diri daripada terjerumus dalam kegelapan maksiat. Sifat inilah yang seharusnya dicontohi pemuda pemudi pada zaman kini, ketika gejala sosial dengan segala anasirnya merebak dengan sangat pantas seolah-olah tidak mampu dibendung lagi.
Dia berkata, “Itulah orangnya yang menyebabkan kalian mencela aku kerana (aku tertarik) kepadanya. Dan sungguh aku telah menggoda untuk menundukkan dirinya tetapi dia menolak. Jika dia tidak melakukan apa-apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan akan menjadi orang yang hina!” (surah Yusuf; 12:32)
Sekali lagi kekuatan iman nabi Yusuf menyebabkan baginda bertekad untuk menerima penghinaan dipenjarakan daripada termakan dengan bujuk rayu wanita-wanita tersebut yang mengajaknya bermaksiat kepada Allah.
Kisah ini berakhir pada ayat ke-35 apabila nabi Yusuf dipenjarakan. Kemudian pada ayat ke-50 hingga 53, disebutkan sekali lagi perihal kumpulan wanita ini iaitu ketika nabi Yusuf dibawa mengadap raja Mesir kerana kemampuannya menakwilkan mimpi raja yang pelik. Untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan buruk yang dikenakan ke atasnya sehingga mengakibatkan baginda dipenjarakan, nabi Yusuf meminta sang raja menyoal sekumpulan wanita yang terpotong tangannya. Ketika itu barulah kumpulan wanita tadi menjelaskan hal yang sebenar;
Dia (raja) berkata (kepada wanita-wanita itu), “Bagaimana keadaan (pendapat) kalian ketika kalian menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya?” Mereka menjawab, “Maha Suci Allah! Kami tidak mengetahui suatu keburukan daripadanya!” Isteri al-Aziz berkata, “Sekarang jelaslah kebenaran itu! Akulah yang menggoda dan merayunya. Dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar.”
(surah Yusuf; 12:51)
di mana nama zulaikha?
Sepanjang kisah di atas disebutkan dalam al-Quran, tidak pernah walau sekalipun disebutkan nama Zulaikha. Wanita yang menggoda nabi Yusuf dalam kisah tersebut hanya dikenali dalam al-Quran dengan Imra`atul Aziz yang beerti isteri al-Aziz, sebagaimana disebut dalam ayat ke-21, 30 dan 51. Al-Aziz juga bukanlah nama sebenar pembesar Mesir tersebut melainkan hanyalah gelaran kepada jawatan yang dipegang oleh beliau. Kelak ketika nabi Yusuf dilantik menguruskan perbendaharaan Negara Mesir, baginda juga digelar dengan al-Aziz, sebagaimana disebutkan dalam ayat ke-78;
Mereka (saudara-saudara nabi Yusuf) berkata, “Wahai al-Aziz (nabi Yusuf)! Dia (Bunyamin) mempunyai ayah (nabi Yaaqub) yang sudah lanjut usia. Kerana itu ambillah salah seorang daripada kami sebagai ganti. Sesungguhnya kami melihat engkau termasuk orang-orang yang berbuat baik.”
Cerita diputar belitkan
Namun sangat dikesalkan apabila terdapat sebahagian penulis, apalagi novelis yang mampu menguntai kata menyusun ayat-ayat sastera nan indah, yang melarikan kisah ini kepada fokus lain. Yang difokuskan ialah kisah kecintaan seorang ‘Zulaikha’ kepada seorang pemuda bernama Yusuf. Sehingga timbul kisah yang lebih karut!
Suatu ketika nabi Yusuf yang telah menjadi bendahara Mesir terlihat seorang wanita yang agak berumur menyebut-nyebut namanya, “Yusuf…Yusuf…” berjalan tanpa keruan. Baginda mengenalinya sebagai Zulaikha, tuannya ketika baginda kecil dahulu. Rupa-rupanya Zulaikha begitu rindukan baginda sehingga menjadi sedemikian rupa.
Lalu nabi Yusuf memohon kepada Allah agar dikurniakan semula kemudaan Zulaikha lantas bagindapun mengahwininya. Namun Zulaikha adalah seorang wanita yang telah bertaubat sepenuhnya. Kali ini bukan lagi dia yang mengejar Yusuf, melainkan Yusuf yang mengejar Zulaikha (sedangkan sebelumnya Zulaikha menyebut-nyebut nama Yusuf bagaikan orang gila!).
Daripada mana sumber kisah ini diambil? Tidak pernah terdapat kisah karut seumpama ini tercatat dalam kitab-kitab hadith mu’tabar melainkan hanyalah riwayat Isra`iliyyat belaka. Dalam al-Quran juga hanya mencukupkan kisah ‘Zulaikha’ hingga ketika dia bertaubat dan memohon maaf atas perbuatannya sahaja. Namun digembar-gemburkan kisah ‘cinta’ ini dan dihiasi dengan segala bentuk keindahan penceritaan untuk menarik minat pembaca. Apakah semangat maksiat dan kisah cinta yang entah dari mana hujung pangkalnya ini yang ingin dijulang dan diangkat?! Dibuang ke mana kisah kekuatan iman seorang Yusuf yang lebih patut dijadikan iktibar? Adakah kita sanggup menyandarkan kisah seumpama ini kepada seorang nabi yang ma’shum dan dijamin kemuliaannya oleh Allah?
Fokus kita benar-benar telah dialihkan! Pengajaran al-Quran yang agung yang menawarkan solusi pelbagai penyakit umat tidak akan sampai kalau sentiasa menfokuskan kepada perkara lain yang tidak penting.
Selain itu, surah Yusuf mempunyai 111 ayat. Kisah di atas diceritakan dalam jumlah tidak sampai 20 ayat pun. Bakinya menceritakan tentang kesabaran nabi Yaaqub, tawakal yang tinggi kepada Allah, dakwah nabi Yusuf dalam penjara, kebijaksanaan baginda menguruskan aset negara ketika tujuh tahun Mesir dilanda kemarau, dan lebih banyak menceritakan kisah baginda dengan saudara-saudaranya. Namun apabila disebut nama nabi Yusuf, yang terlintas di fikiran hanyalah kisah ‘Yusuf dan Zulaikha’!
Kesimpulannya, Nama Zulaikha tidak pernah disebut dalam Al-Quran atau hadis. Ia rekaan sasterawan iran yang hanya untuk menghidupkan apa yang berlaku ke atas Nabi Yusuf A.S . Perkahwinan mereka juga tidak pernah disebut di dalam al-quran atau hadis.
rujukan :
Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..