Apa yang ditulis di sini hanyalah kajian berdasarkan rujukan sekunder dan tertier yang saya perolehi dari bacaan, dan perkongsian ini sekadar untuk menulis kembali apa yang dibaca dan diperolehi sebagai rujukan kefahaman saya sendiri. Saya mengalu-alukan penulisan ini dibaca umum, semoga kalian juga memperolehi manfaat sama seperti apa yang saya perolehi.
Sejak beberapa ketika ini, saya rajin membaca kisah-kisah para nabi yang ditulis dari pelbagai sudut, dari perspektif masyarakat Yahudi, Kristian, Islam, dan kajian Sejarawan. Adalah benar pendapat seorang hamba Allah, bahawa untuk mengkaji sejarah sesuatu zaman itu, bukan harus dirujuk pada Sarjana barat yang rata-ratanya sekular dalam membuat pertimbangan berhubung fakta, tetapi harus berlandaskan kepada 'timeline' para Nabi yang tertulis dalam Quran, juga beberapa kitab suci terdahulu.
Berbalik kepada persoalan asal, siapa itu Al-masih?
Menurut pendapat sejarawan moden, beliau merupakan seorang pendeta (guru agama) berbangsa yahudi yang berasal dari Nazareth, Galilee, berhampiran Judea (kini merupakan sebahagian dari negara yang tidak diiktiraf, Israel). Pada ketika itu, negeri Judea adalah di bawah jajahan takluk empayar Rom (Roman Empire) yang mengamalkan kepercayaanPaganism (menyembah berhala). Ibu negeri Judea pada ketika itu adalah Caesarea dan bukannya Jerusalem seperti yang termaktub ketika tanah tersebut diperintah oleh Raja David (Nabi Daud A.s) dan Raja Solomon (Nabi Sulaiman A.s) beratus-ratus tahun sebelumnya.
Kelahiran beliau yang dilihat sebagai 'luar nikah' sekitar 2BC amat memeranjatkan masyarakat setempat pada ketika itu kerana umum mengetahui Mariam dan keluarganya adalah golongan yang kuat berpegang pada agama. Beliau sendiri merupakan sepupu kepada Elizabeth, isteri kepada Zechariah (Nabi Zakaria A.s), seorang guru agama yang disegani di Judah (bahagian selatan Judea). Adalah mustahil untuk seorang remaja suci seperti Mariam terlibat dengan zina atau 'disentuh' oleh lelaki sehingga membuatkan beliau hamil. Namun hakikatnya kita mengetahui pada hari ini bahawa itu sama sekali tidak benar, dan hal tersebut telah disangkal oleh Isa sendiri yang menempelak mereka yang mengeji ibunya, seperti seorang dewasa meskipun ketika itu beliau masih bayi. Bersuaralah Isa yang masih bayi itu:
"Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi." (Surah Maryam, 19:30)
Kronologi kehamilan Mariam bermula pada suatu hari ketika beliau sedang beribadat di tempatnya seperti yang beliau sering lakukan. Secara tiba tiba di hadapannya muncul seorang lelaki. Alangkah terkejut dan terperanjatnya beliau kerana selama hidup dan selama dia berada di tempat itu, belum pernah didekati oleh mana-mana lelaki yang bukan muhrim. Mariam berpaling dan mahu menghindarkan diri kerana menurut kiraan beliau lelaki itu adalah seorang jahat yang berniat buruk terhadap dirinya, sedang dia sendiri adalah seorang suci dan dipenuhi iman. Mariam berlindung diri kepada Allah dengan berkata:
"Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa." (Surah Mariam, 19:18)
Namun lelaki tersebut membalas,
"Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci" (Surah Mariam, 19:19)
Maryam bertanya (dengan cemas),
"Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" (Surah Mariam, 19:20)
Lalu ia menjawab,
"Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya." (Surah Mariam, 19:19)
Kita mengetahui bahawa lelaki yang menyampaikan khabar gembira tersebut adalah Jibrail (Gabriel) yang diutuskan Allah. Peristiwa kelahiran Isa dipercayai berlaku di Baitullaham (Bethlehem), di bawah sepohon kurma, berhampiran dengan sebatang sungai, namun jauh dari pandangan masyarakat/tempat tinggal masyarakat.
"Maka Maryam hamilah dengan kandungannya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!" (Surah Mariam, 19:22-23)
Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya,
"Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai." (Surah Mariam, 19:24)
Etimologi Nama
Isa Al-masih dikenali dengan beberapa nama, berbeza mengikut bahasa. Nama Isa digunakan dalam Quran merujuk kepada individu yang sama. Dipercayai nama sebenar beliau dalam bahasa Aram adalah Eesho atau Eesaa. Bahasa Aram adalah bahasa pertuturan penduduk Nazareth pada ketika itu, maka masyarakat Nazareth pada ketika itu memanggil beliau dengan nama Eesho atau Eesaa. Nama "Jesus" yang digunakan oleh masyarakat barat pada hari ini dipercayai datang 'terevolusi' dari transliterasi perkataan tersebut dari beberapa bahasa. Pada pandangan saya, ia mungkin wujud akibat terjemahan Bahasa Aram ke Latin atau Greek sebelum wujudnya bahasa Inggeris. Dalam latin/greek, beliau dikenali sebagai Iesus / Iēsoûs(sebutannya "Isus").
Di kalangan penganut Kristian hari ini, beliau dikenali sebagai "Jesus Christ", manakala di kalangan masyarakat Islam pula beliau dikenali sebagai "Isa Al-Masih". Kedua-dua gelaran ini adalah membawa maksud yang sama, kerana pengertian "Christ" dan "Al-Masih" adalah sama, iaitu "Penyelamat". Masyarakat Kristian percaya beliau merupakan penyelamat seluruh umat manusia dari dosa, justeru mengangkat beliau sebagai Tuhan.
Bagi umat Islam pula, beliau tidak lebih dari seorang manusia biasa yang diutuskan Allah untuk memimpin umat manusia dan menegakkan kepercayaan monoteisme yang merupakan tunjang utama akidah agama samawi (Abrahamaic Religions). Bagaimanapun, adalah tidak menjadi kesalahan untuk umat Islam merujuk beliau sebagai "Isa Al-masih" atau "Jesus Christ" kerana sesungguhnya beliau akan muncul dari langit, hadir dengan misi menyelamat umat Islam (dan manusia umumnya) dari fitnah dan kerosakan yang dibawa oleh Dajjal (anti-christ, Al-masih palsu) menjelangnya hari kiamat kelak. Ini dibuktikan dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W:
“Tidak ada seorang nabi pun antara aku dan Isa dan sesungguhnya ia benar-benar akan turun (dari langit), apabila kamu telah melihatnya,maka ketahuilah;bahwa ia adalah seorang laki-laki berperawakan tubuh sedang,berkulit putih kemerah-merahan. Ia akan turun dengan memakai dua lapis pakaian yang dicelup dengan warna merah,kepalanya seakan-akan meneteskan air walaupun ia tidak basah”. (HR Abu Dawud)
Bersambung...
Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..