Friday, December 14, 2012

sejauh mana kisah cinta Nabi Yusuf A.S dan Zulaikha?

Dalam kelas puisi melayu hari ini, aku belajar puisi "Yusuf" hasil tulisan sasterawan negara Datuk Kemala. Terlintas dalam hati nak bertanya pada Dr Samsinar berkenaan Zulaikha. last time, aku baca penulisan seorang blogger di mana nama "zulaikha" itu tidak ditulis di dalam Al-quran atau mana-mana hadis. lantas aku bertanyakan kesahihan itu. Menurut Dr. Samsinar sendiri beliau kurang pasti dan beliau cakap akan rujuk semula tafsir Al-Quran. 

Jadi siapa 'Zulaikha' ? 

Semenjak aku di bangku sekolah, aku disajikan cerita tentang kisah Nabi Yusuf yang tampan, kisah cintanya dengan Zulaikha yang kononnya agung. Lebih agung dari Romeo dan Juliet, Shah Jehan dan Mumtaz Mahal . Tapi hakikatnya itulah yang digambarkan dalam puisi Sufi Parsi ( Iran ) . ya, oleh seorang penyair. bukannya dari Al-Quran sendiri .

Seringkali aku ke majlis kahwin atau pada kad pengantin tertulis doa seperti :

Ya Allah! Satukanlah hati kedua-dua mempelai ini sepertimana Engkau satukan Rasulullah dan Khadijah, Yusuf dan Zulaikha… 

Doa tersebut biasanya di aminkan oleh imam, atau kadi memohon keberkatan pernikahan . Rasulullah dan Khadijah memang telah tercatat perjalanan hidup baginda bersama Siti Khadijah pada fasa awal penyebaran dakwah baginda namun Yusuf dan Zulaikha , benarkah Nabi Yusuf A.S bernikah dengan Zulaikha pada akhir cerita? 

Maka oleh hal yang demikian disebabkan jahilnya kita berkaitan hadis dan Al-Quran, dengan tanpa soal selidik , kita biasanya mengaminkan doa supaya menjadi si isteri seperi Zulaikha. Bukankah Zulaikha itu seorang isteri yang curang, pantang melihat Yusuf yang gagah dan tampan yang akhirnya menggoda, menfitnah Yusuf meyebabkan Yusuf dipenjara. Malangnya, ramai yang terpengaruh dengan penyair-penyair Parsi ( Iran) , yang mengagung-agungkan berahi nafsu Zulaikha terhadap Yusuf. Malangnya ramai yang melihatnya sebagai wahyuNya. Malangnya ramai yag tidak mengkaji penuh puisi sufi yang sebenarnya menidakkan kandungan Al-Quran .

Di mana kisah baginda dengan Zulaikha?

Kisahnya bermula pada ayat ke-21 iaitu ketika al-Aziz, pembesar Mesir membeli nabi Yusuf dan membawanya pulang ke rumah untuk dijadikan hamba. Nabi Yusuf membesar di rumah al-Aziz sehingga meningkat dewasa menjadi seorang pemuda yang sangat tampan. Lalu kerana ketampanannnya, isteri al-Aziz merasa terpikat yang luar biasa sehingga sanggup menggoda nabi Yusuf untuk berbuat maksiat dengannya sewaktu ketiadaan al-Aziz. Namun kerana kekuatan iman yang ada dalam diri seorang pemuda bernama Yusuf, baginda tidak termakan dengan godaan yang datang dari seorang wanita kenamaan yang cantik itu.

Kisah ini dilanjutkan lagi dengan sekumpulan wanita yang mencemuh keadaan isteri al-Aziz yang tergoda oleh hamba lelakinya sendiri. Lalu isteri al-Aziz yang tidak senang dengan cakap-cakap mereka, merancang untuk mengenakan mereka. Dijemputnya mereka ke rumahnya untuk suatu majlis, kemudian diberikan sebilah pisau pemotong buah lalu disuruh nabi Yusuf keluar sehingga dilihat oleh wanita-wanita tadi. Alangkah takjubnya mereka apabila melihat ketampanan wajah nabi Yusuf sehingga tidak sedar yang mereka telah terpotong jari jemari mereka sendiri!

Lalu isteri al-Aziz berkata kepada kumpulan wanita yang mencercanya tadi;

Dia berkata, “Itulah orangnya yang menyebabkan kalian mencela aku kerana (aku tertarik) kepadanya. Dan sungguh aku telah menggoda untuk menundukkan dirinya tetapi dia menolak. Jika dia tidak melakukan apa-apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan akan menjadi orang yang hina!” (surah Yusuf; 12:32)


Sekali lagi kekuatan iman nabi Yusuf menyebabkan baginda bertekad untuk menerima penghinaan dipenjarakan daripada termakan dengan bujuk rayu wanita-wanita tersebut yang mengajaknya bermaksiat kepada Allah.

Kisah ini berakhir pada ayat ke-35 apabila nabi Yusuf dipenjarakan. Kemudian pada ayat ke-50 hingga 53, disebutkan sekali lagi perihal kumpulan wanita ini iaitu ketika nabi Yusuf dibawa mengadap raja Mesir kerana kemampuannya menakwilkan mimpi raja yang pelik. Untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan buruk yang dikenakan ke atasnya sehingga mengakibatkan baginda dipenjarakan, nabi Yusuf meminta sang raja menyoal sekumpulan wanita yang terpotong tangannya. Ketika itu barulah kumpulan wanita tadi menjelaskan hal yang sebenar;


Dia (raja) berkata (kepada wanita-wanita itu), “Bagaimana keadaan (pendapat) kalian ketika kalian menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya?” Mereka menjawab, “Maha Suci Allah! Kami tidak mengetahui suatu keburukan daripadanya!” Isteri al-Aziz berkata, “Sekarang jelaslah kebenaran itu! Akulah yang menggoda dan merayunya. Dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar.”
(surah Yusuf; 12:51)

di mana nama zulaikha? 

Sepanjang kisah di atas disebutkan dalam al-Quran, tidak pernah walau sekalipun disebutkan nama Zulaikha. Wanita yang menggoda nabi Yusuf dalam kisah tersebut hanya dikenali dalam al-Quran dengan Imra`atul Aziz yang beerti isteri al-Aziz, sebagaimana disebut dalam ayat ke-21, 30 dan 51. Al-Aziz juga bukanlah nama sebenar pembesar Mesir tersebut melainkan hanyalah gelaran kepada jawatan yang dipegang oleh beliau. Kelak ketika nabi Yusuf dilantik menguruskan perbendaharaan Negara Mesir, baginda juga digelar dengan al-Aziz, sebagaimana disebutkan dalam ayat ke-78;


Mereka (saudara-saudara nabi Yusuf) berkata, “Wahai al-Aziz (nabi Yusuf)! Dia (Bunyamin) mempunyai ayah (nabi Yaaqub) yang sudah lanjut usia. Kerana itu ambillah salah seorang daripada kami sebagai ganti. Sesungguhnya kami melihat engkau termasuk orang-orang yang berbuat baik.”

Cerita diputar belitkan 

.Al-Quran tidak menyebutkan nama sebenar wanita tersebut kerana itu bukanlah fokus cerita. Samada tahu atau tidak nama sebenar wanita itu langsung tidak memberi kesan kepada jalan cerita kerana ada pengajaran yang lebih besar yang ingin Allah sampaikan daripada sekadar disibukkan dengan nama. Pengajaran terbesarnya ialah tentang kekuatan iman yang mampu menjadi benteng diri daripada hasutan syaitan. Walaupun ketika digoda oleh isteri al-Aziz itu tiada apa yang menghalang mereka, apalagi nabi Yusuf ketika itu ialah seorang pemuda yang punya keinginan, namun iman yang kukuh mampu menjadi pelindung kepada diri daripada terjerumus dalam kegelapan maksiat. Sifat inilah yang seharusnya dicontohi pemuda pemudi pada zaman kini, ketika gejala sosial dengan segala anasirnya merebak dengan sangat pantas seolah-olah tidak mampu dibendung lagi.


Namun sangat dikesalkan apabila terdapat sebahagian penulis, apalagi novelis yang mampu menguntai kata menyusun ayat-ayat sastera nan indah, yang melarikan kisah ini kepada fokus lain. Yang difokuskan ialah kisah kecintaan seorang ‘Zulaikha’ kepada seorang pemuda bernama Yusuf. Sehingga timbul kisah yang lebih karut!

Suatu ketika nabi Yusuf yang telah menjadi bendahara Mesir terlihat seorang wanita yang agak berumur menyebut-nyebut namanya, “Yusuf…Yusuf…” berjalan tanpa keruan. Baginda mengenalinya sebagai Zulaikha, tuannya ketika baginda kecil dahulu. Rupa-rupanya Zulaikha begitu rindukan baginda sehingga menjadi sedemikian rupa.

Lalu nabi Yusuf memohon kepada Allah agar dikurniakan semula kemudaan Zulaikha lantas bagindapun mengahwininya. Namun Zulaikha adalah seorang wanita yang telah bertaubat sepenuhnya. Kali ini bukan lagi dia yang mengejar Yusuf, melainkan Yusuf yang mengejar Zulaikha (sedangkan sebelumnya Zulaikha menyebut-nyebut nama Yusuf bagaikan orang gila!).

Daripada mana sumber kisah ini diambil? Tidak pernah terdapat kisah karut seumpama ini tercatat dalam kitab-kitab hadith mu’tabar melainkan hanyalah riwayat Isra`iliyyat belaka. Dalam al-Quran juga hanya mencukupkan kisah ‘Zulaikha’ hingga ketika dia bertaubat dan memohon maaf atas perbuatannya sahaja. Namun digembar-gemburkan kisah ‘cinta’ ini dan dihiasi dengan segala bentuk keindahan penceritaan untuk menarik minat pembaca. Apakah semangat maksiat dan kisah cinta yang entah dari mana hujung pangkalnya ini yang ingin dijulang dan diangkat?! Dibuang ke mana kisah kekuatan iman seorang Yusuf yang lebih patut dijadikan iktibar? Adakah kita sanggup menyandarkan kisah seumpama ini kepada seorang nabi yang ma’shum dan dijamin kemuliaannya oleh Allah?

Fokus kita benar-benar telah dialihkan! Pengajaran al-Quran yang agung yang menawarkan solusi pelbagai penyakit umat tidak akan sampai kalau sentiasa menfokuskan kepada perkara lain yang tidak penting.

Selain itu, surah Yusuf mempunyai 111 ayat. Kisah di atas diceritakan dalam jumlah tidak sampai 20 ayat pun. Bakinya menceritakan tentang kesabaran nabi Yaaqub, tawakal yang tinggi kepada Allah, dakwah nabi Yusuf dalam penjara, kebijaksanaan baginda menguruskan aset negara ketika tujuh tahun Mesir dilanda kemarau, dan lebih banyak menceritakan kisah baginda dengan saudara-saudaranya. Namun apabila disebut nama nabi Yusuf, yang terlintas di fikiran hanyalah kisah ‘Yusuf dan Zulaikha’!

Kesimpulannya, Nama Zulaikha tidak pernah disebut dalam Al-Quran atau hadis. Ia rekaan sasterawan iran yang hanya untuk menghidupkan apa yang berlaku ke atas Nabi Yusuf A.S . Perkahwinan mereka juga tidak pernah disebut di dalam al-quran atau hadis. 

rujukan : 








Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

Thursday, July 5, 2012

Siapa Isa Al-Masih? (Bahagian 1)

Apa yang ditulis di sini hanyalah kajian berdasarkan rujukan sekunder dan tertier yang saya perolehi dari bacaan, dan perkongsian ini sekadar untuk menulis kembali apa yang dibaca dan diperolehi sebagai rujukan kefahaman saya sendiri. Saya mengalu-alukan penulisan ini dibaca umum, semoga kalian juga memperolehi manfaat sama seperti apa yang saya perolehi.

Sejak beberapa ketika ini, saya rajin membaca kisah-kisah para nabi yang ditulis dari pelbagai sudut, dari perspektif masyarakat Yahudi, Kristian, Islam, dan kajian Sejarawan. Adalah benar pendapat seorang hamba Allah, bahawa untuk mengkaji sejarah sesuatu zaman itu, bukan harus dirujuk pada Sarjana barat yang rata-ratanya sekular dalam membuat pertimbangan berhubung fakta, tetapi harus berlandaskan kepada 'timeline' para Nabi yang tertulis dalam Quran, juga beberapa kitab suci terdahulu.

Berbalik kepada persoalan asal, siapa itu Al-masih?

Menurut pendapat sejarawan moden, beliau merupakan seorang pendeta (guru agama) berbangsa yahudi yang berasal dari Nazareth, Galilee, berhampiran Judea (kini merupakan sebahagian dari negara yang tidak diiktiraf, Israel). Pada ketika itu, negeri Judea adalah di bawah jajahan takluk empayar Rom (Roman Empire) yang mengamalkan kepercayaanPaganism (menyembah berhala). Ibu negeri Judea pada ketika itu adalah Caesarea dan bukannya Jerusalem seperti yang termaktub ketika tanah tersebut diperintah oleh Raja David (Nabi Daud A.s) dan Raja Solomon (Nabi Sulaiman A.s) beratus-ratus tahun sebelumnya.

Kelahiran

Kelahiran beliau yang dilihat sebagai 'luar nikah' sekitar 2BC amat memeranjatkan masyarakat setempat pada ketika itu kerana umum mengetahui Mariam dan keluarganya adalah golongan yang kuat berpegang pada agama. Beliau sendiri merupakan sepupu kepada Elizabeth, isteri kepada Zechariah (Nabi Zakaria A.s), seorang guru agama yang disegani di Judah (bahagian selatan Judea). Adalah mustahil untuk seorang remaja suci seperti Mariam terlibat dengan zina atau 'disentuh' oleh lelaki sehingga membuatkan beliau hamil. Namun hakikatnya kita mengetahui pada hari ini bahawa itu sama sekali tidak benar, dan hal tersebut telah disangkal oleh Isa sendiri yang menempelak mereka yang mengeji ibunya, seperti seorang dewasa meskipun ketika itu beliau masih bayi. Bersuaralah Isa yang masih bayi itu:

"Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi." (Surah Maryam, 19:30)

Kronologi kehamilan Mariam bermula pada suatu hari ketika beliau sedang beribadat di tempatnya seperti yang beliau sering lakukan. Secara tiba tiba di hadapannya muncul seorang lelaki. Alangkah terkejut dan terperanjatnya beliau kerana selama hidup dan selama dia berada di tempat itu, belum pernah didekati oleh mana-mana lelaki yang bukan muhrim. Mariam berpaling dan mahu menghindarkan diri kerana menurut kiraan beliau lelaki itu adalah seorang jahat yang berniat buruk terhadap dirinya, sedang dia sendiri adalah seorang suci dan dipenuhi iman. Mariam berlindung diri kepada Allah dengan berkata:

"Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa." (Surah Mariam, 19:18)

Namun lelaki tersebut membalas,

"Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci" (Surah Mariam, 19:19)

Maryam bertanya (dengan cemas),

"Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" (Surah Mariam, 19:20)

Lalu ia menjawab,

"Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya." (Surah Mariam, 19:19)

Kita mengetahui bahawa lelaki yang menyampaikan khabar gembira tersebut adalah Jibrail (Gabriel) yang diutuskan Allah. Peristiwa kelahiran Isa dipercayai berlaku di Baitullaham (Bethlehem), di bawah sepohon kurma, berhampiran dengan sebatang sungai, namun jauh dari pandangan masyarakat/tempat tinggal masyarakat.

"Maka Maryam hamilah dengan kandungannya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!" (Surah Mariam, 19:22-23)

Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya,

"Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai." (Surah Mariam, 19:24)


Etimologi Nama

Isa Al-masih dikenali dengan beberapa nama, berbeza mengikut bahasa. Nama Isa digunakan dalam Quran merujuk kepada individu yang sama. Dipercayai nama sebenar beliau dalam bahasa Aram adalah Eesho atau Eesaa. Bahasa Aram adalah bahasa pertuturan penduduk Nazareth pada ketika itu, maka masyarakat Nazareth pada ketika itu memanggil beliau dengan nama Eesho atau Eesaa. Nama "Jesus" yang digunakan oleh masyarakat barat pada hari ini dipercayai datang 'terevolusi' dari transliterasi perkataan tersebut dari beberapa bahasa. Pada pandangan saya, ia mungkin wujud akibat terjemahan Bahasa Aram ke Latin atau Greek sebelum wujudnya bahasa Inggeris. Dalam latin/greek, beliau dikenali sebagai Iesus / Iēsoûs(sebutannya "Isus").

Di kalangan penganut Kristian hari ini, beliau dikenali sebagai "Jesus Christ", manakala di kalangan masyarakat Islam pula beliau dikenali sebagai "Isa Al-Masih". Kedua-dua gelaran ini adalah membawa maksud yang sama, kerana pengertian "Christ" dan "Al-Masih" adalah sama, iaitu "Penyelamat". Masyarakat Kristian percaya beliau merupakan penyelamat seluruh umat manusia dari dosa, justeru mengangkat beliau sebagai Tuhan.

Bagi umat Islam pula, beliau tidak lebih dari seorang manusia biasa yang diutuskan Allah untuk memimpin umat manusia dan menegakkan kepercayaan monoteisme yang merupakan tunjang utama akidah agama samawi (Abrahamaic Religions). Bagaimanapun, adalah tidak menjadi kesalahan untuk umat Islam merujuk beliau sebagai "Isa Al-masih" atau "Jesus Christ" kerana sesungguhnya beliau akan muncul dari langit, hadir dengan misi menyelamat umat Islam (dan manusia umumnya) dari fitnah dan kerosakan yang dibawa oleh Dajjal (anti-christ, Al-masih palsu) menjelangnya hari kiamat kelak. Ini dibuktikan dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W:

“Tidak ada seorang nabi pun antara aku dan Isa dan sesungguhnya ia benar-benar akan turun (dari langit), apabila kamu telah melihatnya,maka ketahuilah;bahwa ia adalah seorang laki-laki berperawakan tubuh sedang,berkulit putih kemerah-merahan. Ia akan turun dengan memakai dua lapis pakaian yang dicelup dengan warna merah,kepalanya seakan-akan meneteskan air walaupun ia tidak basah”. (HR Abu Dawud)

Bersambung...


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

Monday, May 7, 2012

kekejaman pemerintahan Mustafa Kamal Atarturk

beberapa minggu yang lalu, aku ada membeli buku ini di karnival dekat perpustakaan abdul samad, UPM. kedai pertama yang aku pergi dah sold out katanya stok masuk bulan depan. sampai kedai kedua , bersyukur aku jumpa juga , sebab aku dah lama cari sejak beberapa bulan yang lalu.
cerita macam tak boleh order dekat pts sendiri. Aku yang malas pergi mencari di kedai-kedai buku akibat dari kekangan masa assignment dan sebagainya. Buku ni bertajuk 'Mustafa Kamal Atarturk : penegak agenda yahudi' hasil tulisan Abdul Latip Talib. Review yang aku dapat bagi, recommended bagi yang suka baca novel, sebabnya jalan ceritanya memang garapan macam novel.

tapi bukan novel ombak rindu. novel sejarah. memang banyak fakta sikit. tapi berbaloi, kerana anda akan faham jalan ceritanya bonus cerita sultan muhamad al fateh ketika menakluk kota konstantinopel , bonus kejatuhan sultan abdul hamid ketika khalifah uhtmaniah digulingkan. semua in one, bai. mana nak cari?  wikipedia pun kena bukak banyak browser.

hari ini aku nak bercerita mengenai kekejaman manusia bernama Mustafa Kamal Atarturk. kalau dalam sejarah sebenarnya , Mustafa Kamal Atarturk ini merupakan kebanggaan kerana presiden turki pertama yang membawa turki ke arah turki moden. tapi dilihat dari sudut agama, beliau bukan satu kebanggaan tapi salah satu yang cuba menggulingkan agamanya sendiri. Aku tak banyak info pasal beliau . tapi kalau beli buku ni, ada fakta yang tak dicerita ditulis oleh penulis tapi tak ada ditulis dalam wikipedia yang pada aku itu satu kemestian untuk tahu betapa kejam nya Mustafa Kamal Atarturk ni.

Mustafa Kamal Ataturk adalah tokoh hitam sejarah Islam yang tidak sewajarnya diberi sanjungan kerana pelbagai penghianatan telah dilakukannya terhadap agama Islam, ekonomi dan rakyat Turki. Beliau yang pada mulanya pernah disanjung sehingga digelar “Khalid al Walid” kerana berjaya mengalahkan tentera British lalu diangkat menjadi Presiden Turki yang pertama, menunjukkan belang hitamnya setelah berkuasa.


 Beliau menjatuhkan khalifah Uthmaniyah, sebahagian yang dicerita di dalam buku tersebut apabila beliau merancang satu fitnah bahawasanya Sultan Abdul Hamid II terlibat dalam insiden huru hara serta pembakaran al-quran agar semua rakyat turki menggulingkan kerajaan Uthmaniah , menghina Islam sehingga sanggup memerintahkan seruan azan dilaungkan dalam bahasa Turki, al Quran yang mengandungi tulisan arab dibakar kerana orang ramai hanya dibolehkan membaca tafsiran dalam bahasa Turki, menukar masjid menjadi gereja, menukar undang-undang Islam kepada undang-undang barat, menggalakan kaum wanita mendedahkan aurat, membunuh ramai ulama yang tidak bersetuju dengan corak pemerintahannya dan pelbagai kekejaman lagi.

 
Sultan Abdul Hamid II, Khalifah Ottoman/ Uthmaniah terakhir.
saat perginya khalifah uthmaniah terakhir yang tidak mahu menjual seinci pun dari tanah palestin  walaupun ditawarkan berbillion dollar oleh pertubuhan yahudi sedunia. 

"saya tak akan menyerahkan walau seinci pun tanah palestin kerana ia bukan milik saya. Tanah itu adalah hak milik umat islam. Umat islam sudah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka sudah menyiraminya dengan darah, Sekiranya khalifah uthmaniah tidak wujud lagi suatu hari nanti , maka kamu boleh mengambil palestin tanpa membayar apa-apa. Namun begitu, selagi saya masih hidup, saya rela menusukkan pedang ke tubuh saya sendiri daripada menyerahkan tanah palestin kepada kamu " . Sultan abdul hamid ii kepada Theodere Hertzl" (sebahagian dari petikan buku )

Menurut Dr Abdullah Azzam dan Dr. Mohammad Redzuan Othman, setelah Kamal Ataturk berkuasa pada 29 Oktober 1932, beliau mengistiharkan kelahiran republik Turki moden dengan : 

  1. Mengikut segala model Barat dalam pemerintahan. 
  2. Sistem yang menjadi dasar adalah sistem republik sekular. 
  3. Menghapuskan sistem pemerintahan khilafah . 
  4. Pemakaian hijab dilarang di kalangan kaum wanita. Sekiranya dipakai ia dianggap jenayah dan hukuman berat dikenakan. 
  5. Pemakainan tarbusy oleh lelaki diganti dengan topi. Juga dianggap jenayah sekiranya dipakai. 
  6. Menggantikan huruf arab dengan latin. 
  7. Menukar sistem pemerintahan Islam dengan sekular sebagaimana termaktub dalam perlembagaan tahun 1933. 
  8. Memansuhkan artikel-artikel yang menyatakan agama bagi negara Turki adalah Islam.
  9. Memansuhkan Kementerian Kehakiman Syariah dan diganti dengan Badan Kehakiman Sivil. 
  10. Melarang berpoligami dan menyamaratakan hak pewarisan harta dan perkahwinan antara lelaki dan wanita. 
  11. Sistem pendidikan sekular menjadi dasar dan sebaliknya dia menutup dan memansuhkan semua madrasah, sekolah agama rakyat, gerakan tariqat dan amalan sufi. 
  12. Menggantikan budaya Islam dengan budaya berasaskan Turki dan Barat. 
  13. Azan dilaungkan dalam bahasa Turki dan tidak lagi dalam bahasa Arab. 
  14. Masjid Aya Sophia diubah statusnya menjadi muzium. 
  15. Melatih tentera cara latihan ala Barat. 
  16. Mengarahkan supaya dirobohkan tempat azan yang dikumandangkan berhampiran dengan istananya kerana bising dan menganggunya beristirehat. 
  17. Melarang kaum muslimin mengerjakan Haji di Makkah. 
  18. Perlembagaan Turki melarang keras sebarang unsur dan usaha mengembalikan Islam untuk ditukar dengan sistem pemerintahan dan dasar sekular yang diasaskan oleh Ataturk. Usaha untuk itu dianggap sebagai jenayah dan boleh didakwa, dan yang mendokongi kuat fahaman ini adalah pihak tentera dan juga sekularis-sekularis tulin. 
  19. Mendirikan patungnya di setiap tempat. 
  20. Menghapuskan Kementerian Wakaf. 
  21. Menghapuskan penggunaan Kalender Hijrah dan menggantikannya dengan kalender Barat. 
  22. Mengarahkan agar cuti hujung minggu yang selama ini ialah pada hari Jumaat supaya ditukar ke hari Ahad sebagaimana yang diamalkan oleh Barat. 

patung-patung Mustafa Kamal Atarturk yang pernah diceritakan suatu saat ditempah dari eropah dengan menghabiskan berjuta-juta lira emas sehingga beliau memansuhkan kementerian Wakaf yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyat dengan membeli patung-patung tersebut.

Pemimpin yang diagungkan barat sehingga digelar “bapa moden Turki itu” ternyata tidak membawa apa-apa kemodenan terhadap Turki berbanding semasa pemerintahan khalifah Utmaniyah. Kejayaan beliau yang paling ketara hanya membina patung beliau diseluruh Turki seolah mahu rakyat menyembahnya.


Selama 15 tahun (1923-1938) Ataturk bermaharajalela, melakukan kefasadan yang amat luar biasa terhadap Khilafah Uthmaniah Turki dan Ummahnya. Namun dalam tempoh itu sudah amat cukup untuk dia meperlakukan Islam, menodai ummah dan mencalar-balarkan wajah ummah dengan wajah Barat dan sekular dengan semahu-mahunya.

Namun ingatlah bahawa Allah itu Maha Mengetahui, Maha Perkasa dan Maha Adil. Dialah yang menetapkan segala keputusan ke atas segala makhluknya. 

Kematian Kamal Atartuk Yang Menyeksakan 

Disaat kematiannya, Allah telah datangkan beberapa penyakit kepada beliau sehingga beliau rasa terseksa dan tak dapat menanggung seksaan dan azab yang Allah berikan di dunia. Antaranya ialah : 

  1. Didatangkan penyakit kulit hingga ke kaki dimana beliau merasagatal-gatal seluruh badan. 
  2. Sakit jantung. 
  3. Penyakit darah tinggi. 
  4. Panas sepanjang masa, tidak pernah merasa sejuk sehingga terpaksa diarahkan kepada bomba untuk menyiram rumahnya 24 jam. Pembantu-pembantunya juga diarahkan untuk meletak ketulan-ketulan ais di dalam selimut untuk menyejukkan beliau. 
Maha suci Allah, buat macam mana pun rasa panas tak hilang-hilang. Oleh kerana tidak tahan dengan kepanasan yang ditanggung, beliau menjerit sehingga seluruh istana mendengar jeritan itu. 





Oleh kerana tidak tahan mendengar jeritan, mereka yang bertanggung jawab telah menghantar beliau dengan kapal mewah ke tengah lautan dan diletakkan dalam bot dengan harapan beliau akan merasa sejuk. Allah itu Maha Besar, panasnya tak juga hilang. selain dari banyak duit rakyat yang digunakan untuk membiayai kapal mewah tersebut.
Pada 26 september 1938, beliau pengsan selama 48 jam disebabkan terlalu panas dan sedar selepas itu tetapi beliau hilang ingatan. 

Pada 9 November 1938, beliau pengsan sekali lagi selama 36 jam dan akhirnya meninggal dunia. Sewaktu beliau meninggal, tidak seorang pun yang memandi,mengkafan dan menyembahyangkan mayat beliau. 

Mayatnya diawetkan selama 9 hari 9 malam, sehingga adik perempuan beliau datang meminta ulama-ulama Turki memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkannya. Tidak cukup dari itu, Allah tunjukkan lagi balasan azab ketika mayatnya di bawa ke tanah perkuburan.

Bila mayatnya hendak ditanam, tanah tidak menerimanya (tak dapat nak bayangkan bagaimana tanah tidak menerimanya). Disebabkan putus asa, mayatnya diawetkan sekali lagi dan dimasukkan kedalam muzium yang diberi nama Etna Grafi selama 15 tahun sehingga tahun 1953). 

Selepas 15 tahun mayatnya hendak ditanam semula, tapi Allah Maha Agung, bumi sekali lagi tak menerimanya. Habis ikhtiar, mayatnya dibawa pula ke satu bukit ditanam dalam satu binaan marmar beratnya 44 tan. 

makam Mustafa Kamal Atarturk.
Mayatnya ditanam di celah-celah batu marmar. Apa yang menyedihkan, ulama-ulama sezaman dengan Kamal Atartuk telah mengatakan bahawa "jangan kata bumi Turki, seluruh bumi Allah ini tidak menerima Kamal Atartuk".

sumber : Abdul Latip Talib. Mustafa Kamal Atarturk. 
             Turki civillization. perpustakaan abdul samad, upm. 
              Mustafa Kamal Atarturk Wikipedia
               Ms wordpress




Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

Wednesday, April 4, 2012

Rangka manusia zaman batu ditemui

Taipei - Sepasukan pakar arkeologi Taiwan yang melakukan kajian di Pulau Liang dekat perairan China menemui rangka lelaki zaman batu yang dipercayai memberi petunjuk mengenai manusia kuno yang mengembara ke seluruh rantau Pasifik .

Lelaki itu dipercayai mati ketika berumur sekitar 35 tahun hampir 8000 tahun lalu dan merupakan keturunan orang asli Taiwan sekarang. Rangka tulang itu ditemui pada Disember tahun lalu.



Semasa ditemui , para penyelidik tersebut mendapati susunan rangka tulang itu seperti kedudukan seorang bayi dalam kandungan .

"Berpandukan cara mayat itu ditanam , dia mungkin manusia purba yang berasal dalam keluarga bahasa Austronesia " , kata ketua pasukan arkeologi berkenaan, Chen Chung-Yu dari institut Sinica Academia di Taiwan.

Penduduk pribumi taiwan tergolong dalam bahasa keluarga Austronesia. Mereka berketurunan mansia purba yang berhijrah ke rantau asia pasifik sehingga ke pulau Easter dan Chile.


nota Arkib Kuno : penemuan manusia purba yang ditemui di taipei ini jelasnya kalau dilihat ciri-cirinya hampir bersamaan dengan rangka manusia zaman mesolitik yang ditemui oleh pasukan arkeologi dari UKM di Gua Bewah , Tasik kenyir 2 tahun yang lalu yang mana kedudukannya disemadikan juga sama iaitu di dalam keadaan merengkok seperti bayi. (insyaAllah akan aku ceritakan di entri seterusnya)


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

Thursday, March 1, 2012

teka-teki tiga dimensi terbesar di dunia




apakah anda pernah bermain permainan ini? susun mengikut warna , aku pernah cuba suatu ketika dahulu dan sehingga kini, aku masih belum mampu menyusun semuanya dalam warna yang sama kecuali jika aku yang ubahnya ketika baru beli (semua warna dah ternyata sama) , sekali twist, dan twist balik cepat-cepat kerana takut warna nya 'lari'. jadi, memang aku tidak akan faham motif permainan.


atau pernah bermain ini? jigsaw puzzle. aku juga pernah bermain benda menguji minda ini , pertama kali beli di pasar malam harga Rm10 sekotak yang dalamnya 500 pieces dan tak pernah siap bila asyik hilang separuh .

tapi jelas yang ingin aku ceritakan di sini adalah mengenai teka teki yang menyerupai permainan di atas, tapi teka-teki yang lebih realiti. teka-teki tiga dimensi terbesar di dunia. ce teka.



ini adalah kuil Baphuon. Kuil Baphuon dibina sekitar tahun 1060 oleh Raja Udayadityavarman II untuk memuja dewa Hindu, Shiva. Kuil ini terletak di barat laut Kemboja itu merupakan bangunan terbesar di negara itu pada masa tersebut dengan ketinggian 35 meter.

Pemulihan runtuhan Kuil Baphuon yang dibina pada kurun ke-11 di Kemboja adalah hasil tidak pernah jemu di sebalik panas cuaca tidak menentu dan ancaman perang saudara. Kuil itu kini kembali ke bentuk asalnya setelah beratus-ratus ribu batu-bata dicantum menggunakan tangan dan tenaga manusia. "Ketika pertama kali melihat kemusnahan monumen itu saya tidak yakin kami boleh membinanya kembali," kata seorang pakar pemulihan arkeologi Kemboja, Ieng Te.




Lelaki tersebut pernah menyertai projek berkenaan ketika dia masih berstatus pelajar pada tahun 1960. Pada masa itu dia ditugaskan untuk menanda batu dengan satu angka khas. "Sudah tentu saya teruja dan gembira. Kami berjaya membina semula kuil purba ini," kata Ieng yang kini berumur 66 tahun. Pada satu hari dalam hujan renyai baru-baru ini, para pekerja pemulihan menyapu cat lapisan terakhir pada tangga kayu di Kuil Baphuon. Ia kuil terbesar selepas Angkor Wat yang menjadi simbol kemegahan kompleks Angkor. Kerja-kerja pemulihan itu merupakan aktiviti terakhir sebelum kuil itu dibuka kepada umum pada 3 Julai lalu.

jadi di mana teka-tekinya?

Cerita pemuliharaan menelan kos AS$14 juta (RM43 juta) itu bermula pada 1960-an setelah sekumpulan pakar arkeologi Perancis merelai batu-batu kuil yang mulai runtuh akibat kerapuhan. Para pekerja menggunakan tangan untuk menanda lebih 300,000 bongkah batu sebelum meletakkannya secara tersusun di kawasan hutan berhampiran. Namun, usaha untuk membina semula menara kuil terjejas setelah Kemboja terjerumus ke dalam kancah perang saudara pada tahun 1970.Kumpulan pakar arkeologi tersebut menerima tamparan hebat untuk menyusun kembali Baphuon mengikut sistem nombor setelah rejim komunis Khmer Rouge merosakkan projek itu sebaik sahaja berkuasa pada tahun 1975.

Projek yang dibiayai oleh kerajaan Perancis itu hanya disambung semula pada tahun 1995 dengan dana yang disalurkan melalui Institut Kajian Asia, Ecole Francaise d'Extreme-Orient (EFEO). "Projek pemuliharaan kuil ini merupakan misteri teka-teki tiga dimensi terbesar dunia," kata arkitek EFEO, Pascal Royere. Walaupun data-data dan nombor batu-batu yang ditanda dirosakkan, kumpulan pembaik pulih tersebut tetap berjaya mencantum semula kuil itu dengan mengukur dan menimbang setiap blok berdasarkan gambar arkib, lukisan serta memori bekas pekerja projek tersebut. "Kami berhadapan soalan teka-teki tiga dimensi. Kami mempunyai 300,000 bongkah batu untuk dicantumkan sebagai gambar dan itulah cabaran utama projek ini. "Setiap batu mempunyai tempatnya dan kami tidak akan menjumpai batu kedua yang mempunyai ukuran sama," menurut arkitek tersebut.



Kerja-kerja baik pulih Baphuon siap sepenuhnya pada April lalu dengan bantuan 250 pekerja. Kedua-dua fasa pembinaan itu membabitkan jarak masa lebih 500 tahun sekali gus menyukarkan lagi usaha pemuliharaan. Projek itu juga bertambah perlahan berikutan musim hujan. Pahit getir di sebalik pembinaan semula itu kini menjadi sudut fokus lensa pelancong yang tidak putus-putus mengunjungi seni bina purba tersebut, kata Royere. Baphuon terletak di tengah-tengah Taman Negara Angkor dan ia sudah pasti menjadi tarikan utama, tambah Royere.


Seorang pelancong dari Amerika Syarikat, Gayle Sienicki berkata, dia terpegun melihat kuil Baphuon dapat dicantum semula dari beribu-ribu bongkah batu. "Ia sangat menakjubkan. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana sabarnya para pekerja projek pemulihan Baphuon bekerja mencantumkan kuil itu semula. Apa yang paling penting, mereka berjaya melakukannya walaupun selepas 50 tahun,".

(sumber : surat khabar kosmo )




Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

Friday, February 10, 2012

Dari catatan papyrus maya ..



Assalamulaikum w.b.t

Arkib Kuno,

Nama klasik yang aku pilih untuk blog ilmiah yang dapat membantu sedikit sebanyak mengenai sejarah. Ikutkan hati , ilmu yang belum cukup di dada ni apalah sangat nak dikongsikan dengan orang ramai apatah lagi berbeza sedikit sebanyak dengan kursus aku ikuti sekarang bachelor kesusasteraan melayu (UPM) . Tapi mengikut kata Rasulullah sendiri, ilmu itu adalah dari tiga perkara iaitu Quran, Sunnah dan ‘aku tidak tahu’. Maka , dari ‘aku tidak tahu ‘ itulah manusia perlu sentiasa mencari ilmu tidak kira upayanya.


aku masih belajar dunia blogging ini biarpun masih ‘hingusan’ bak kata orang. Penulisan juga masih belum matang, mungkin melalui pengalaman berblogging akan menajamkan jari jemari yang belum matang. Sebolehnya aku cuba lari dari tipikal “Wikipedia” dan skema supaya pembacaan ringan dan santai lebih mudah menarik minat pembaca kerana aku lihat blog- blog sejarah kurang ‘menyengat’ apakah mungkin fakta , tahun, peristiwa sukar untuk menarik minat pembaca berbanding blog-blog peribadi yang lebih santai.

Sejarah..

Aku membuka blog ini kerana minat aku pada sejarah, waktu menengah dulu belajar sejarah hanyalah satu kewajipan dalam jadual waktu dan untuk lulus periksa, dan penghayatan sejarah itu lebih mendalam ketika aku di tingkatan enam mungkin kerana guru sejarah, Puan normala Ghazali dan Puan haryati yang membuat sejarah tampak lebih ringan diserap minda. Justeru minat aku bermula ketika itu sehinggalah aku sedar jiwa aku jika tidak ditambah dengan bahan bacaan sejarah menjadi kosong seolah ianya tidak lengkap dan akhirnya dijadikan sebahagian dari kehidupan dan hobi.

Mungkin bagi orang lain , sejarah itu hanyalah sekadar peristiwa yang belaku ketika lampau, bagi aku sejarah itu seperti teka teki , seperti juga mencari punca pengaliran sungai nil di Mesir, dari pengembaraan Herodotus sehingga pengembara jerman Dr. Buekhart Wldecker yang menjejaki sumber sungai ini sehingga menghasilkan teka-teki dari mana air sungai nil mengalir , mingikut pengembara jerman tersebut, sebuah mata air dari sebuah kawasan bernama Burundi. Namun kesahihan ini masih dipertikaikan.

Sejarah juga mistik bagi aku seperti juga sumpahan makam tutakhamun iaitu firaun termuda mesir, yang ketika itu Carvanon yang mengetuai ekspedisi mencari makam tersebut dan terjumpa makam tutakhamun yang tertera ayat "They who enter this sacred tomb shall swift be visited by wings of death." Atau sesiapa memasuki makam suci ini akan dikunjungi sayap kematian, justeru selang beberapa minggu kemudian, Carvanon didapati meninggal dunia dan diikuti rombongan ekspedisinya satu persatu. Apakah ini kaitan nya dengan makam tutankhamun, masih lagi meninggalkan misteri.

Sejarah bukan sekadar peristiwa, tetapi perjalanan sesuatu jalan cerita seperti catatan columbus dalam menemukan benua amerika , sejarah satu cerita yang jika tidak kita ‘hidup’kan sekarang mungkin akan terkubur begitu sahaja, seperti jua, tinggalan bangunan lama di perak yang langsung tak diendahkan sedangkan sejarah lah yang mewujudkan bangunan tersebut. , dan jika sejarah tidak terus dihidupkan apakah mungkin peristiwa 13 mei akan berulang kerana penghayatan terhadap peritiwa tersebut diambil ringan dan perpaduan negara mungkin di hujung tanduk.

Aku berharap blog ini dapat memberi manfaat kepada yang melawat dan membaca , dan blog ini juga dapat dijadikan perantaraan pandangan dan idea aku melibatkan isu semasa dengan sejarah , aku berharap jua penulisan aku dapat dijadikan salah satu saluran berkongsi ilmu dengan anda .


editor Arkib Kuno.



Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..